Damia Nafisah [Part 1]


Petir menyambar. Guruh berdentum menggegarkan dinding kamar. Bayu sejuk bertiup kencang, menggoncangkan daunan di luar. Bunyi itu lebih menenangkan berbanding apa yang sedang berlaku di ruang tamu. Jeritan tangisan setanding bunyi di luar rumah. Aku memaksa mata memejam sedangkan kelopak tidak memberat. Telinga terus menadah, menelan setiap apa yang sedangkan dibalahkan.  Gigi mengetap kuat. Bibir menutup rapat. Urat kepala berdenyut, tak tenteram. Perasaan berbaur marah dan geram. Sudah lama rumah ini tidak merasa ketenteraman. Setiap malam, jeritan teriakan berbalas. Entah bila masalah akan selesai. Aku bangkit dari baringan, berjalan perlahan menghampiri meja belajar. Handphone dicapai. Pantas earphone yang terlilit bersama itu disumbat ke telinga. Lagu dibuka hingga ke volum separa kuat.  Cuba menghalang balahan yang mengacau lena. Baik aku pupuk diri dengan lullaby di telinga.
Shut the f up!” Pintu dihempas kuat, mengejutkan aku dari lena kembali. Punat kunci pada tombol ditekan kuat. Manusia yang keberangan itu menghiasi pandangan. Beg yang digalas dicampak ke bawah. Punggung terus dihempas ke lantai, badan bersandar pada dinding. Jari-jemari mencengkam urat rambut. Kata-kata kesat terus meniti di bibir seakan-akan baginya itu zikir. Terpandang akan aku yang memandang kosong ke arahnya. Manusia itu berhenti memaki. Pandangan yang tajam menjadi diam. Seketika kemudian, manusia itu bangkit dan berjalan perlahan ke arah aku yang membatu. Sedikit ruang di katil memuatkan punggungnya dilabuhkan. Bibir itu menarik senyuman hambar. Kepala aku diusap tangannya yang hangat.
Sorry. I didn’t mean to wake you up again tonight.” Tuturnya perlahan dalam nafas yang dihembus panjang. Rona wajahnya suram dan kelam. Keserabutan dalam benak mindanya tergambar bersama. “Akak minta maaf. Sebabkan akak, kau kena hadap benda macam ni.” Kekesalan mengulit kata. Pandangannya redup merenung ke dalam kolam mata. Aku hanya diam dan membiarkan tangannya terus mengusap kepala.
At least, akak sentiasa ada untuk Mia.” Perlahan aku bersuara selepas diam menyusun kata. Cukuplah sekadar aku dan dia mendengarnya. Apa yang aku katakan itu adalah kebenaran. Tiada seorang dalam rumah ini yang ada untuk aku melainkan Erika. Jika ikut biologi, kami ialah adik-beradik tiri. Selepas arwah Ibu pergi meninggalkan Ayah dan Erika 15 tahun lepas, Ayah memutuskan untuk berkahwin lagi dan memilih Mama untuk mengisi hidupnya. Pada mulanya, hanya Erika satu-satunya anak Ayah dan Mama ada. Kasih dan sayang itu miliknya seorang. Tetapi tidak sehingga beberapa tahun selepas lahirnya aku di dunia ini. Kasih dan sayang mereka terus tertumpu hanya pada aku. Kewujudan Erika seakan dikaburi dengan kehadiran aku. Walaupun aku mencuri kasih dan sayangnya, dia tidak pernah sekalipun memandang dan melayan aku dengan buruk. Kasih sayang yang dicurahnya mengisi lagi kasih dalam diri aku.
Apa yang berlaku setiap malam dalam rumah ini, dek tiada persefahaman antara Ayah dan Mama dengannya. Semenjak tiga tahun lepas, tidak pernah rumah ini sunyi tanpa perbalahan mereka. Pasti ada sahaja yang tidak kena. Puncanya terlalu banyak. Tetapi perbalahan mula tercetus apabila impian yang disusun dari kecil untuk menjadi penyanyi dicantas Ayah dengan alasan warisan bisnes keluarga. Sikap Erika berubah sepenuhnya apabila impiannya dibantah tanpa budi bicara.

“Bila kau dah besar, jangan jadi macam akak. Kau budak baik. Jadi anak yang membanggakan Ayah dan Mama. Cukuplah hanya akak kecewakan mereka berdua. Akak tak mampu nak jadi contoh baik untuk kau. Jadi, jangan kau ikut jejak akak. Faham?” Erika bersuara selepas lama kami mengelamun melayan perasaan sendiri. Aku memandang tepat ke dalam matanya. Sepasang matanya memandang aku dengan harapan untuk aku memahami katanya. Respon anggukan kepala menyenangkannya. Hidung aku dicuit, membuatkan aku tertawa kecil.
“Ingat, belajar tinggi-tinggi. Kekalkan prestasi kau dekat sekolah. Akak nak kau teruskan apa kau buat. Jangan takut jatuh di tengah percubaan. Bangkit cepat. Akak tahu kau boleh. Akak yakin dengan kau, because I believe you can.” Ekspresi wajahnya begitu yakin. “Sekarang, akak nak kau tidur. Pelajar pandai tak tidur lewat. Good night, Mia.” Dahi aku dikucupnya penuh kasih sayang. Bibirnya menarik senyum. Dalam kegelapan kamar, masih jelas matanya berkaca air mata.
“Nak akak nyanyikan kau lagu untuk tidur?” Erika menyoal. Dalam keserabutan yang dihadapinya tatkala ini, dia masih ingin menenangkan aku sehingga lena. Sedangkan ketenangan itu yang didahagakannya, bukan aku.
Tanpa bersuara, kepala mengangguk, mengiakan. Bibirnya menarik senyum. Tapak tangannya terus mengusap lembut kepala aku. Suara merdu miliknya menghiasi telinga. Kelopak mata menjadi berat. Entah bila, aku sudah lena dibuai mimpi. Apabila kelopak mata dibuka kembali, cahaya matahari sudah mencucuk perit pandangan. Memori malam tadi menjelma tiba. Pandangan terus menjalar ke setiap ruang kamar. Cuba mencari kehadiran Erika. Namun pencarian terhenti apabila minda mengejutkan aku sepenuhnya. Ada seperkara aku terlupa. Memori malam tadi, hanyalah mainan tidur aku sendiri. Erika sudah lama meninggalkan aku sendirian di kamar ini semenjak sepuluh tahun lepas. Tanpa sedari, butiran jernih mengalir dari tubir mata. Rindu mencengkam jiwa. Pagi yang indah telah dimulakan dengan tangisan tanpa sengaja. Sendu menyesakkan nafas. Aku tertunduk melepaskan perasaan yang tidak tertahan. Sungguh, aku rindu manusia itu.
Good morning, sayang.” Satu tubuh muncul dari balik pintu. Lekas jari menyeka air mata yang berbasi di tubir. Senyuman palsu ditampal pada bibir, menyahut ucapan selamat pagi Mama. Wanita separuh abad itu berjalan masuk ke dalam kamar dengan apron masih terikat di tubuhnya. Hujung katil menjadi tempat punggung dilabuhkan. Tangan tua itu menyentuh selimut di bahagian kaki. Sengihan yang menghiasi wajahnya itu seakan memberi isyarat kepada aku tentang sesuatu yang aku pasti.
“Mama nak apa ni sengih pagi-pagi macam ni?” Nafas dihembus panjang. Aku bangkit dari katil dan berjalan malas ke arah meja di satu sudut dalam kamar. Caj handphone dicabut dari tempat masuknya. Nyalaan skrin bernyala dan mata menangkap nombor yang menunjukkan jam sekarang. Masih awal lagi untuk mulakan hari, monolog hati. Terasa seperti didekati, badan berpusing memandang Mama di belakang. Sengihannya masih hidup.
“Ish, kamu ni. Mestilah Mama nak tahu apa yang terjadi antara kamu dengan Zac semalam.” Bahu aku dipukul perlahan. Seperti yang dijangka, keterujaan Mama di pagi hari bukan disebabkan aku sendiri tetapi disebabkan keinginannya untuk mengetahui apa yang terjadi semalam ketika aku keluar makan malam bersama Zac. Itu poin utamanya.
“Tak ada apa yang berlaku, kami cuma makan je. Dan adalah berbual pasal future sikit.” Nada malas, aku menjawab. Punggung menyandar pada sisi meja. Aku memandang Mama dengan riak yang tidak ceria. Namun begitu, ianya tidak mematikan keterujaan wanita tua itu langsung. Terus diajukan pelbagai soalan kepada aku berkenaan makan malam semalam. Apa yang ditanya, itu yang aku jawab. Tiada istilah memanjangkan cerita. Cukup sekadar aku menjawab soalan.
Hubungan aku dengan Zac adalah hasil daripada persetujuan Ayah dan Mama dengan kedua-dua ibu bapa Zac untuk menyatukan kami berdua. Tipikal situasi yang berlaku dengan alasan untuk mengembangkan lagi bisnes. Jika bergabung dua empayar, ianya mampu memantapkan bisnes kedua-duanya. Itu kata mereka. Tapi tidak pada aku. Aku sangka, hidup aku tidak akan diatur sama sekali oleh Ayah dan Mama tetapi sangkaan itu meleset apabila aku terpaksa bertunang dengan Zac kerana persetujuan mereka bersama. Aku tersepit disatukan dengan manusia yang aku mempunyai ‘zero knowledge’ tentangnya. Kami berdua benar-benar berbeza. Tiada persefahaman yang dapat dibentuk jika aku bersama Zac. Ada sahaja perkara kami bantah membantah apabila berjumpa.
“Alhamdulillah. Ada juga perkembangan kamu berdua. Apapun, Mama doakan yang terbaik buat kamu berdua. Moga-moga hingga ke jinjang pelamin. Amiin” Doa Mama lantas meraup wajahnya dengan kedua-dua tangan. “Sekarang, kamu pergi mandi lepastu turun makan tau. Mama masakkan mee goreng basah untuk kamu.” Mama menepuk bahu aku, kemudian berlalu pergi. Aku hanya mengangguk kepala, hanya ikutkan rentak Mama. Malas untuk aku berbalah dengannya tentang isu ini. Buat masa sekarang, aku kumpul modal sahaja dulu. Tunggu masanya nanti, aku lepaskan.
Deringan handphone mengejutkan aku. Pantas disambut panggilan tanpa melihat siapa si pemanggil.
“Damia Nafisah”
Nafas terhenti.





No comments:

Post a Comment