1 Mei 2014
Langit gelap. Bunyi guruh berdentum di atas sana, bergema ke setiap penjuru. Rintik-rintik jernih mulai turun, meresap ke bumi. Mata tidak berganjak daripada nama yang tertulis pada batu putih itu. Hati remuk. Perasaan yang dipendam semenjak tadi, akhirnya gagal dikawal. Butiran demi butiran air mata jatuh dari tubir mata, mengalir terus membasahi pipi. Lebat. Bibir menggetar. Tangan mencengkam kuat baju di bahagian dada. Cuba mengurangkan rasa perit yang dipendam. Tapi gagal! Bahu terhenjut-henjut menahan sendu. Orang sekeliling tidak dihiraukan langsung. Lutut lemah. Akhirnya, terjatuh jua dia ke tanah. Teresak-esak di situ. Baju hitam sudah lencun. Manusia lain sudah beredar meninggalkan aku sendirian di situ.
“Kenapa sekarang?”
Soalan tiada jawapan. Dibiarkan angin membawa pergi ke mana saja ia suka.
***
5 Jun 2014
Cahaya matahari masuk dari celahan langsir tingkap memenuhi segenap ruang kamar. Bunyi jam loceng bergema ke setiap penjuru. Mata dibuka perlahan-lahan. Jam yang berbunyi itu dimatikan. Mata ditutup semula. Muka ditekap ke bantal. Rasa mengantuk masih menguasai diri. Nafas ditarik dan dihembus. Berulang kali dilakukan. Keadaan diri sedikit tenang. Dia bangkit dari pembaringan. Pinggul mengesot ke sisi katil. Kaki jejak ke lantai. Kedua-dua tangan ditongkat di sisi. Kepala diangkat. Dinding biru muda itu ditenung seketika. Keluhan dihembus. Pinggul diangkat. Tuala yang disangkut pada kepala kerusi, ditarik. Suis lampu ditekan. Lampu menyala. Kaki masuk ke dalam bilik mandi.
Beberapa minit dihabiskan untuk bersiap. Cermin di hadapan, ditenung. Imej yang direfleks itu diteliti lama. Cermin mata, telefon genggam dan beg duit diambil dari meja. Kaki dihayun keluar dari kamar. Pintu ditutup perlahan-lahan. Satu per satu anak tangga dituruni. Sampai di bawah. Cermin mata disarung ke mata. Pintu rumah dibuka. Kasut disarung ke kaki. Pintu ditutup semula. Dikunci sekali. Enjin kereta dipanaskan seketika. Telefon dalam kocek belakang ditarik keluar. Didail nombor seseorang.
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara memberi salam suci di hujung talian.
Bibir sudah menguntum senyum.
“Waalaikumussalam, Umi. Zul ni.”
“Ya Allah, Zul! Lama benar Umi tak dengar suara kamu. Kamu sihat, nak?” Nada suara wanita pertengahan abad itu kedengaran bercampur; sayu dan gembira.
“Alhamdulillah, sihat, Mi.” Liur ditelan. Kepala ditala ke dada langit. Cerah. Tiada tanda hendak hujan.
Talian sunyi seketika.
“Umi?”
“Ya, Zul?”
Nafas ditarik. Dihembus keluar perlahan-lahan. “Mia macam mana?”
Wanita itu menghembus keluhan perlahan. “Datanglah sini, Zul. Anak kamu tu dah rindu sangat dengan kamu. Jenguklah dia walaupun lima minit. Kesiankan dia, Zul.” Suara itu seperti memujuk.
Batang hidung dipicit. “Tak tahulah, Umi.” Keluhan dihela panjang. “Zul tak sedia lagi nak tengok Mia. Zul masih tak stable.”
“Zul. Umi faham keadaan kamu sekarang. Tapi tanggungjawab kamu sebagai seorang ayah, jangan sekali kamu abaikan. Mia rindu kamu. Hari-hari dia panggil kamu. Umi tak tahu nak buat apa lagi. Baba kamu pun sama. Siang malam, dia merengek.”
“Umi. Zul bukan sengaja abaikan Mia. Tapi, Umi..” Dia diam. Otak sarat dengan pelbagai benda.
“Tak apalah, Zul. Umi faham. Kamu rehatkanlah diri kamu tu. Jangan terlalu menyeksa diri. Minta dekat Allah supaya mudahkan segalanya. Insha Allah, Dia tolong.”
Rengekan budak menganggu talian. Panggilan ‘Papa’ menyentuh gegendang telinga sehingga ke lipatan hati. Mata terasa panas. Kaca jernih mulai mengaburi pemandangan. Rindu menyetap kuat jiwa.
Mia....
“Umi. Jagakan Mia untuk Zul sementara waktu ni. Zul janji Zul akan jenguk dia bila Zul sudah tenang, Mi. Zul minta diri dulu. Assalamualaikum.” Cepat-cepat telefon dijauhkan dari telinga. End call disentuh. Talian tamat.
Badan disandar lesu ke kereta. Kepala tertunduk lemah.
Entah bila, dia akan pulih dari kesedihan ini sepenuhnya.
***
1 Ogos 2014
“Zul. Ini kopi you minta tadi.” Cawan beralaskan piring kecil itu diletakkan ke atas meja.
“Thanks.” Ringkas mulut berbicara. Mata masih setia menatap skrin komputer riba. Jemari laju mengetuk papan kekunci.
Manusia itu tidak berganjak langsung. Mata dilirikkan ke wanita berambut panjang ikal itu seketika. Kemudian, diheret pandangan ke skrin semula.
“Apa tunggu lagi? Keluarlah.” Suara mendatar.
Manusia itu menghembus keluhan. “Zul, I’m sorry to infere your life business. I faham you sedih sangat lepas you kehilangan your wife. Tapi takkan sebab itu, you nak pecat ramai pekerja dekat sini. You tahukan kita kekurangan pekerja. I really hope that you’d come back to your sense, Zul. I...”
Jemari berhenti mengetuk papan kekunci. Mata memandang manusia di hadapan, tajam.
“Keluar.”
Manusia itu tersentak. “Zul.”
“Aku cakap keluar.” Nada meninggi.
“Zulkifli, please.”
“Aku cakap keluar, Erin. Keluar!”
Dengusan nafas dilepaskan. “Okey. Fine. I keluar. Tapi sebelum tu, Zul. I nak pesan satu benda. Jangan biarkan perasaan you tu seksa diri you. Dah tiga bulan, Min meninggal. You patut dah move on sekarang. I faham you sedih. Tapi janganlah sampai macam ni. You should control yourself and those feelings you’re dealing with right now. I tak nak tengok you macam ni lagi. I nak you yang lama.” Habis bicara, dia meninggalkan bilik itu.
Pintu ditutup.
Jiwa kacau. Otak serabut. Perasaan yang bercampur mengeruhkan lagi keadaan.
“Arggggghhh!!!!” Ditolak barang-barang di atas meja ke lantai. Kertas-kertas bersepah. Cawan kopi tadi sudah berderai. Komputer riba sudah terbaring di atas lantai.
Kepala ditongkat dengan kedua-dua tangan. Bahu terhenjut-henjut. Suara tangisan mengisi ruang.
Dia gagal mengawal emosi.
***
9 Ogos 2014
Sebatang rokok dibiarkan terbakar di celah jari. Sekali-kali dihisap masuk ke paru-paru. Angin malam bertiup lembut. Dibiarkan ia menampar wajah. Sedikit sebanyak jiwa terasa sedikit tenang. Rambut menari mengikut rentak angin yang bertiup.Dihisap lagi rokok itu di celah bibir. Dihembus keluar asap yang berlebihan keluar dari mulut. Rokok habis dihisap. Bakinya ditekan ke atas mangkuk kecil yang khas untuk membuang habuknya. Gelas lutsinar itu dibawa ke bibir. Dihirup sedikit kopi yang sudah suam-suam itu. Kemudian diletak semula gelas itu ke atas meja. Kepala menoleh ke kanan. Lautan manusia malam itu menjadi pemandangan. Bibir menarik senyum sinis.
Kebahagiaan yang sementara. Kenapa masih leka?
Sadis.
***
18 Oktober 2014
Dia berdiri tegak di hadapan pintu. Tangan kanan teragak-agak hendak mengetuk. Tangan lagi satu memegang satu bungkusan hadiah. Mata dipejam. Nafas ditarik sedalam-dalam yang mungkin. Dihembus nafas keluar perlahan-lahan. Mata dicelikkan semula.
Tiga kali ketukan dilakukan.
“Assalamualaikum.”
Bibir bawah digigit. Salam tidak berjawab.
“Assalamualaikum.”
Sekali lagi salam diberi. Beberapa ketika kemudian, bunyi derap tapak kaki kedengaran dari dalam. Suara menjawab salam memasuki gegendang telinga.
Pintu dibuka. Bibir menguntum senyum.
“Ya Allah, Zul. Datang juga kamu ke mari.” Wanita itu tampak terharu.
“Umi.” Tangan wanita itu diraih. Disalam dan dicium. Kepalanya diusap oleh Umi.
Kepala diangkat. Tangan itu dilepaskan lembut. Bibir menguntum senyum.
“Masuk, Zul. Umi buatkan air.” Pelawanya.
Tanpa tunggu-tunggu, dia terus menanggalkan kasut dan masuk ke dalam rumah. Kaki terasa sejuk apabila menapak ke atas mozek. Pandangan menebar ke sekitar ruang tamu. Satu per satu diperhati. Dia berjalan ke satu almari kecil bersebelahan televisyen. Gambar-gambar si cilik itu menghiasi pandangan. Belakang jari telunjuk mengusap lembut kaca gambar itu. Hati sebak. Bibir menarik senyum.
“Zul. Mari sini. Kita duduk. Berborak. Dah lama Umi tak berborak dengan kamu.” Suara Umi mencantas lamunannya.
Dia memaling ke arah wanita itu. Kepala mengangguk faham. Kaki berjalan perlahan ke sofa putih. Dilabuhkan pinggul ke atasnya tanpa tunggu-tunggu. Hadiah yang dibalut kemas itu diletakkan ke atas meja kopi.
“Mana Mia, Umi?” Kepala menjengah-jengah. Mencari si cilik itu.
Wanita itu tergelak halus. “Baba ajak ke kedai tadi. Kejap lagi baliklah tu. Baba kamu tu biasalah. Ada cucu seorang. Sukalah dia. Dulu taknak. Sekarang dia yang beria.” Umi menggeleng-gelengkan kepalanya.
Bibir tersenyum. Kepala mengangguk-angguk.
Suasana menjadi sunyi seketika. Hanya bunyi kipas dan suara anak-anak jiran yang mengisi ruang.
“Kamu dah sihat sepenuhnya?” Suara wanita itu memecahkan sunyi.
Mata diheret ke wajah Umi. Kemudian, jatuh semula ke lantai. Kepala menggeleng lemah.
Bunyi keluhan kedengaran. “Umi tak tahu nak cakap apa lagi, Zul. Kamu terlalu fikirkan perkara ini sangat. Umi tak mampu nak cakap lebih sebab Umi tak merasanya. Nasihat saja Umi mampu berikan. Tapi yalah, kamu yang hadapinya. Mungkin manusia sekeliling tak faham. Cuma kamu saja.”
Dia berdiam diri.
“Zul, kamu dah besar. Kamu tahu macam mana nak tempuhi perkara ini dengan matang. Umi tak suka tengok anak Umi seorang ini sebegini rupa. Cengkung. Muka nampak letih. Umi nak anak Umi yang dulu. Apa yang sudah pergi, biarkan pergi. Kita doakan yang terbaik untuk dia di sana. Kita yang masih hidup ini, janganlah terlalu bersedih. Apa guna ada Allah itu kalau kita tak menghadapNya. Luahkan segala kepadaNya. Zul, Umi nak kamu kembali seperti asal. Umi sedih tengok kamu. Hati Umi ni.Tak senang tengok kamu macam ini. Kamu ubahlah. Tak apa, ambillah seberapa banyak masa kamu perlukan. Umi tak kisah. Asalkan Umi dapat kamu yang dulu semula.” Sayu sahaja suara wanita itu memasuki gegendang telinga.
Dia tidak beriak. Mulut kunci daripada bersuara. Teh O panas yang dibuat Umi tadi, dia hirup seteguk. Setakat membasahkan tekak yang kering.
“Assalamualaikum!” Satu suara memecah suasana. Perhatian dialihkan ke arah manusia di pintu.
Bibir menarik senyum lebar apabila melihat si cilik berumur setahun lebih itu berjalan. Disambut budak itu ke dalam pelukan. Pipi dicium banyak kali. Rindu yang dipendam selama ini. Akhirnya, terlerai.
“Papa rindu Mia.” Perlahan suara dia menuturkan ayat itu. Dicium lagi pipi si cilik itu.
Air mata sudah tidak ditahan lagi. Dibiarkan mengalir di pipi.
Rindu terlerai.
Walaupun seketika, kebahagiaan itu dirasa.
***
23 Disember 2014
Suara dari televisyen dan kipas yang berpusing memenuhi segenap ruang. Dia berdiri di meja makan. Tangan menongkat badan. Cuba menampung berat. Tekak terasa perit. Batuk tidak henti-henti. Air masak di dalam gelas diteguk. Cuba mengurangkan perit di tekak. Ubat yang diberi oleh doktor pagi tadi, tidak dihiraukan. Dibiarkan sahaja ubat-ubat itu di dalam beg plastik.
Bunyi telefon berdering di ruang tamu, bergema ke segenap ruang. Dia bergegas ke ruang tamu. Diangkat telefon. Mata meneliti nombor yang terpampang di skrin telefon. Talian dijawab.
“Hello, Zul.” Manusia itu memulakan perbualan.
Tekak terasa sangat perit. Menyukarkan dia untuk bersuara.
“Zul, kau okey tak?” Suara itu kedengaran risau.
“Aku okey. Cuma batuk-batuk saja. Kau call ni ada apa, Jo?”
“Tak adalah. Saja call kau. Lama tak berborak. Kau sihat?”
“Alhamdulillah, macam biasa.” Suaranya mendatar. Mata menala kosong ke skrin televisyen.
“Alhamdulillah, baguslah.” Manusia di talian diam seketika. “Hm, Zul?” Nama rakannya itu dipanggil lembut.
Dia diam.
“Tadi Umi call aku. Cerita pasal kau.”
“Umi cakap apa?”
“Cakap pasal keadaan kau sekarang. Aku risau. Itu yang aku call ni.”
“Umi call baru nak call aku?” Suara memerli. Tawa hambar dilepaskan beberapa.
Manusia itu gelak juga. “Bukanlah macam itu. Aku busy. Kau fahamkan kerja aku macam mana? Ini pun ada kerja lagi. Aku call kau sebab aku risau sangat. Kau betul-betul okeykah, Zul?” Gelisah suara manusia itu di hujung talian.
“Aku okey, Jo. Jangan risau. Selagi hayat dikandung badan. Pandai-pandailah aku hidup macam mana.” Dia terbatuk-batuk sebaik sahaja menghabis kata-katanya.
“Zul, aku tak nak cakap benda yang sama orang lain cakap dekat kau. Aku tahu kau kuat. Aku tak naklah kawan aku dari kecil ni, seksa diri. Aku faham segalanya, Zul. Kalau aku cakap lebih. Kau meluat. Itu semua kau boleh fikirkan. Kalau kau nak tempat luah, aku ada. Calllah aku bila-bila pun. Aku ada untuk kau. Jangan pendam. Nanti makan diri. Lagi teruk kau.”
Batang hidung dipicit. Dia diam. Membiarkan manusia itu katakan apa yang dia mahu.
“Zul, bulan depan aku balik dari UK. Bawa aku jalan-jalan. Request khas ni dari aku. Dah lama aku tak balik Malaysia. Rindu masakan Umi. Ha, anak kau si Mia tu pun aku rindu. Masa aku jumpa dulu, masih bertali barut. Sekarang dah cantik. Macam isteri kau. Uish apa genes kau orang ni.” Manusia itu tertawa.
Dia tersenyum. Hambar.
“InshaAllah, Jo. Aku tak janji. Ada, adalah. Jangan mengharap.”
“Okeylah, Zul. Aku nak sambung kerja ni. Kau tu, nanti kita jumpa. Aku nak tengok kau berisi. Bukan cengkung. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Telefon dijauhkan dari telinga.
“Eh. Eh. Kejap.” Suara itu mematikan niat. Dia lekapkan kembali telefon ke telinga.
“Kenapa, Jo?”
“Aku lupa nak cakap. Jangan lupa makan ubat. Itu saja.”
Pandangan ditarik ke beg plastik kecil di atas meja makan. Ditenung kosong beg plastik itu.
Talian tamat. Telefon ditarik jauh dari telinga. Diletak kemudian ke atas meja kopi. Televisyen ditutup. Dia baring di atas sofa beralaskan lengan. Mata menala ke siling putih itu. Ditutup mata perlahan-lahan. Ubat tidak hirau langsung untuk makan.
Untuk beberapa perkara, dia membiarkan sahaja sakit menguasai tubuh.
Entah kenapa, sakit itu sudah sinonim dengan hidupnya.
Rintikan hujan menjadi muzik tidur.
Akhirnya, dia lena.
***
21 Jun 2015
Katil sorong itu ditolak laju. Beberapa orang jururawat dan doktor berlari, mengejarkan dia ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Oksigen diberikan secukupnya. Muka berdarah teruk. Leher patah. Begitu juga kaki dan tangan. Riuh koridor hospital itu dengan suara doktor meminta laluan.
Umi, Baba dan Mia menunggu di luar ICU dengan sabar. Umi menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh suaminya. Si cilik itu tidak tahu apa-apa. Dia gembira bermain seorang diri di hadapan pintu ICU. Seolah-olah menanti ayahnya keluar dari situ.
Saat berganti minit. Minit berganti jam. Masing-masing menantikan manusia itu keluar. Doa tidak putus-putus dipohon kepadaNya agar dia selamat. Seperti cacing kepanasan, tiada yang selesa duduk di atas kerusi. Sekejap bangun. Sekejap duduk. Resah menerkam jiwa.
“Bang, saya tak sedia.” Teresak-esak wanita itu. Air mata tumpah banyak. Habis tudung lencun.
“Sabar, Jah. InshaAllah Zul selamat. Jangan putus harapan.” Lelaki tua itu cuba menenangkan isterinya. Ditarik wanita itu ke dalam pelukan. Diusap lembut lengannya.
Pintu ICU terbuka. Seorang doktor perempuan Cina keluar. Tangannya diseluk ke dalam poket kot putih yang dipakai. Pasangan suami isteri itu cepat-cepat bangun dari duduk. Dikejar doktor itu.
“Doktor, macam mana dengan anak kami?” Gelisah saja nada mereka.
Doktor perempuan itu diam.
“Doktor. Jawablah doktor.” Wanita tua itu mendesak.
Nafas dihembus. “Maafkan saya, tuan, puan. He didn’t make it.”
Kedua-dua mereka tersentak. Berita yang diterima diluar jangkaan. Wanita itu terjelepok ke lantai. Teresak dia menangis. Meratapi pemergian anak tunggalnya itu. Koridor itu senyap. Tiada yang kedengaran melainkan tangisan.
Beberapa ketika kemudian, mayat dia disorong keluar. Kain putih yang menutupi wajah, ditarik sedikit ke bawah sehingga ke tulang selangka. Pucat. Bekas-bekas jahitan banyak di atas badan dan muka. Diusap lembut pipinya oleh wanita itu. Tersendu-sedan wanita itu melihat anaknya yang nampak tenang itu.
“Bergembiralah engkau di sana, nak.” Dalam esakan wanita itu berkata. Dicium dahi anaknya itu.
Selepas satu tahun satu bulan dua puluh hari. Dia pergi meninggalkan dunia. Meninggalkan manusia sekitarnya. Meninggalkan perit yang ditanggung. Meninggalkan kesedihan yang tersarang dalam hati. Biarlah dia pergi. Kebahagiaan di atas sana miliknya selama-lamanya. Biarlah dia bergembira. Cukuplah kesengsaraan yang dihadapinya di dunia selama tempoh itu.
Dia pergi tanpa mesej. Namun, semua memahami dan redha.
Satu tahun. Satu bulan. Dua puluh hari.
Dia sudah tiada.
***
Aku hentam bedal je buat ni. Lepaskan gian. bye.
No comments:
Post a Comment